Tuesday, September 13, 2011

Takaful IKHLAS Sasar Kutipan RM750 Juta Tahun Ini

1 Nov 2010


KUALA TERENGGANU, 31 Okt -- Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful Ikhlas) mensasarkan untuk memperoleh kutipan sehingga RM750 juta daripada pemegang polisi bagi tahun kewangannya tahun ini.

Pengerusi Takaful Ikhlas Sharkawi Alis berkata, ini berikutan prestasi syarikat yang terus melonjak pada setiap tahun sejak ia ditubuhkan pada September 2002 dan beroperasi Julai 2003 dengan hanya 145 warga kerja.

"Pada tahun kewangan 2005, Takaful Ikhlas memperoleh kutipan sumbangan sebanyak RM147 juta, terus meningkat kapada RM224 juta (2006), RM428 juta (2007), RM579 juta (2008) dan RM615 juta (2009)," katanya.

"Kami yakin dengan pertumbuhan syarikat yang begitu pesat, sasaran kami untuk memperoleh kutipan sumbangan sehingga RM750 juta pada akhir tahun ini akan tercapai," tambahnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian pejabat Takaful Ikhlas Wilayah Terengganu yang disempurnakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said di sini Ahad. Turut hadir di majlis itu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Datuk Syed Moheed Syed Kamarulzaman.

Sharkawi berkata pihaknya kini mempunyai 11 rangkaian pejabat wilayah yang membabitkan 7,633 ejen di seluruh negara dengan 1.7 juta pemegang sijil atau polisi, dan menurutnya melihat pertambahan bilangan pemegang sijil dan ejen yang ketara di seluruh negara, ia bagaikan satu petanda yang sihat untuk syarikat terus mewujudkan pejabat-pejabat wilayah yang baru di beberapa tempat strategik.

Katanya berdasarkan peningkatan perniagaan yang amat memberangsangkan di Terengganu, Takaful Ikhlas juga mensasarkan untuk memperolehi kutipan sumbangan dari negeri itu sehingga RM30.5 juta tahun ini.

Beliau berkata Takaful Ikhlas kini mempunyai kira-kira 500 ejen di Terengganu dan dengan adanya pejabat wilayah di sini, ia memudahkan pelanggan dan ejen berurusan secara terus.

Sementara itu Sharkawi berkata syarikat itu menawarkan lebih 90 pelan perlindungan kewangan berlandaskan Syariah, namun ia tidak bermakna produk Takaful Ikhlas hanya sesuai untuk orang beragama Islam sahaja, sebaliknya ia bersesuaian untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama.

Malah menurutnya lebih tujuh peratus atau kira-kia 110,000 orang pemegang sijil Takaful Ikhlas kini terdiri daripada bukan Islam.

Pada majlis itu Ahmad turut menyampaikan zakat perniagaan Takaful Ikhlas kepada 20 pelajar Sekolah Agama Maahad Tahfiz Waltarbiyah, Tok Jiring di sini.

-- Harian Metro

No comments:

Post a Comment