Thursday, February 18, 2010

Takaful IKHLAS mahu agresif lagi

17 Feb 2010

SELEPAS tujuh tahun, Takaful Ikhlas akhirnya berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran. Namun begitu, perjalanan syarikat insurans Islam itu tidak berakhir di sini.
Takaful Ikhlas yang turut dimiliki oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) kini berusaha untuk memasuki pasaran sejagat.


‘‘Kami mahu bertindak sebagai penyedia penyumberan luar kepada syarikat-syarikat takaful di luar negara....Di sinilah kami melihat peluang yang patut diterokai, bukan sahaja membantu, tetapi memperluaskan sistem dan pemprosesan yang kita ada,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman dalam satu temu bual dengan wartawan Utusan Malaysia, AINUL ASNIERA AHSAN di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau berkata, impian untuk ‘tinggal di rumah sendiri’ telah tercapai sekali gus memberikan suntikan semangat untuk masa depan.

‘‘Saya yakin 2010 pasti memberi kejayaan berterusan kepada Takaful Ikhlas,’’ kata beliau lagi
Dalam pertemuan itu, Syed Moheeb juga mengulas tentang prestasi semasa Takaful Ikhlas dan juga kemungkinan untuk mengambil alih syarikat lain dalam mengembangkan lagi syarikat insurans itu.

UTUSAN: Sejauh mana Datuk melihat perkembangan industri takaful tahun ini?

Syed Moheeb: Kita boleh bahagikan unjuran itu kepada dua bahagian iaitu Takaful Keluarga dan Takaful Am. Menurut Insurance Service Malaysia Bhd. (ISM), firma rujukan insurans dan takaful, mengunjurkan terdapat peningkatan ketara dalam Takaful Keluarga lebih kurang 30 peratus.

Walaupun ia berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya tetapi keadaannya masih baik selepas mengambil kira dunia baru sahaja melepasi krisis ekonomi. Kita masih tidak tahu lagi unjuran sebenar insurans konvensional tetapi kalau kita tengok kepada suasana sebelum krisis ekonomi, Takaful Keluarga berkembang pada kadar 12 peratus. Meskipun Takaful Keluarga nampak merosot sedikit tetapi masih membanggakan. Takaful Am pula dijangka tiada peningkatan. Purata kenaikan takaful ini pada tahun-tahun sebelumnya lebih kurang tujuh peratus berbanding konvensional tiga peratus.

Pada tahun ini kita menjangka Takaful Am tumbuh antara tujuh hingga lapan peratus. Kalau kita melihat unjuran Bank Negara Malaysia (BNM), Keluaran Dalam Negara Kadar (KDNK) dianggar tumbuh lima peratus pada suku keempat 2010. Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) pula meramalkan empat peratus. Kita boleh nampak aktiviti-aktiviti ekonomi kembali rancak. Tambahan pula, Insentif-insentif untuk merancakkan ekonomi melalui pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM67 bilion akan mula dirasai kesannya.

Jadi sejauh mana kesannya kepada industri?

Kita terpaksa tunggu kira-kira enam bulan sebelum kita dapat merasai kesannya kepada industri takaful dan insurans. Kesannya kepada Takaful Am hanya boleh dilihat apabila ada peningkatan dalam perlindungan marin yang dilanggan oleh pengilang-pengilang yang membeli stok-stok keperluan mereka. Kilang, industri dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan mula mengambil tenaga kerja, ini juga akan membantu pemulihan Takaful Am. Bagi Takaful Nyawa pula bergantung kepada pemulihan ekonomi, sekali gus bakal memberikan kekuatan kepada perniagaan ini.


Selepas hampir tujuh tahun beroperasi, Bagaimana pula Datuk menilai prestasi Takaful Ikhlas?

Kami akan berpindah ke bangunan baru di Bangsar South. Selepas hampir tujuh tahun beroperasi, impian warga Takaful Ikhlas untuk 'tinggal dalam rumah sendiri' tercapai. Pejabat baru ini bukan sahaja selesa tetapi mempunyai persekitaran perniagaan yang baik. Ini seolah-olah memberi satu suntikan semangat kepada semua kakitangan Takaful Ikhlas, apatah lagi tempatnya cantik, sekali gus memberi keselesaan kepada kami untuk meluaskan perniagaan khususnya dengan syarikat asing.

Syarikat ini dikenali di peringkat luar kerana kepakaran dalam teknologi dan pemprosesan serta fokus pelaksanaan strategi. Sesiapa yang mengikuti perkembangan, prestasi dan analisis pelaksanaan strategi Takaful Ikhlas, pasti akan mengagumi kita.

Jadi dengan adanya bangunan baru, ia menaikkan sifat kendiri dan keyakinan, secara tidak langsung akan diterjemahkan kepada kelakuan dan kelakuan pula bakal mengenal pasti masa depan kita. Ini dilihat sebagai asas kepada Takaful Ikhlas untuk terus maju pada masa depan.

Saya yakin 2010 pasti memberi kejayaan berterusan kepada Takaful Ikhlas. Saya berbangga untuk menyatakan dalam usia hampir tujuh tahun ini, Takaful Ikhlas mempunyai aset bernilai RM1.2 bilion.

Apa yang menjadi keutamaan Takaful Ikhlas pada tahun ini?

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac ini, kita menganggarkan untuk mencapai premium sebanyak RM630 juta berbanding RM580 juta pada tahun lalu. Kita juga merancang untuk memperkukuhkan rangkaian pengagihan, dengan menambah wakil dan agen takaful serta institusi perbankan di Malaysia. Takaful Ikhlas akan memperkukuhkan perkhidmatan di 10 buah bank sekarang. Kita hendak memastikan setiap bank dapat mempertingkatkan agihan dengan mengadakan perkakasan elektronik kepada institusi perbankan tersebut. Syarikat akan perluaskan I-POS kepada sebanyak cawangan perbankan yang boleh. I-POS adalah satu sistem berasaskan laman web, yang mana ia membolehkan wakil dan agen syarikat untuk melihat status pelanggan. Teknologi itu ada tetapi menunggu kelulusan daripada bank-bank berkenaan.


Datuk pernah menyatakan hasrat untuk meluaskan operasi syarikat ke luar negara. Boleh dijelaskan lebih lanjut?

Kita memang menumpukan kepada peningkatan usaha untuk penyumberan luar. Takaful Ikhlas mahu bertindak sebagai penyedia penyumberan luar kepada syarikat-syarikat takaful di luar negara. Sekarang kita nampak beberapa syarikat takaful baru wujud di luar negara terutama di Timur Tengah, Afrika Selatan, Afrika Tengah dan Eropah. Kalau syarikat-syarikat di Eropah memang tiada masalah kewangan untuk mengadakan sistem takaful yang membabitkan teknologi maklumat, pemprosesan dan pelaksanaan tetapi di negara-negara lain, mereka mempunyai pelaburan yang terhad.

Di sinilah kami melihat peluang yang patut diterokai, bukan sahaja membantu, tetapi memperluaskan sistem dan pemprosesan yang kita ada. Ia seperti konsep francais cuma mereka tidak perlu menggunakan jenama Ikhlas. Kita juga tidak pernah mengehadkan supaya syarikat-syarikat yang mahukan mendapatkan penyumberan luar menggunakan nama Takaful Ikhlas.

Setakat ini adakah Takaful Ikhlas terlibat dalam rundingan dengan mana-mana pihak?

Kita kini berunding dengan tiga pengendali takaful termasuk Eropah Timur, Afrika Selatan dan kemungkinan Australia. Perkhidmatan penyumberan luar itu akan menjadi pasaran baru Takaful Ikhlas.


Bagaimana pula tumpuan kepada pasaran tempatan?

Bagi dalam negara, dua perkara akan menjadi tumpuan sejajar dengan saranan kerajaan. Dalam Bajet 2010, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan mengenai kewujudan mikro takaful (penawaran insurans pada premium lebih rendah daripada yang sedia ada).

Kami sedang memikirkan untuk melihat bagaimana inisiatif kerajaan ini dapat diberikan sokongan. Kita mungkin akan menggunakan persatuan insurans untuk menghasilkan produk melalui satu skim yang akan dipasarkan oleh semua pengendali menggunakan jentera kerajaan.


Sejauh mana pula sumbangannya?

Untuk produk ini sudah tentu sumbangannya rendah, kos operasi, pengagihan perlu mudah, komisennya rendah, sejajar dengan peranannya sebagai produk mikro takaful.


Boleh Datuk berkongsi rahsia kejayaan dalam membangunkan Takaful Ikhlas?

Bagi saya ada dua faktor iaitu jenama dan keghairahan dalam membangunkan serta memajukan Takaful Ikhlas. Saya sentiasa memastikan orang ramai tahu, kenal dan suka Takaful Ikhlas. Aspek ini datangnya daripada jenama.

Oleh itu, jenama perlu ada matlamat, destinasi dan imej. Perkara ini tidak akan wujud jika kita sekadar 'berbuat bising', tetapi sebaliknya ia perlu datang secara semula jadi.


Untuk mencapainya, Takaful Ikhlas perlu mempunyai produk, kakitangan yang baik dan cekap atau menawarkan produk pada harga murah?.

Bagi saya, untuk menjadikannya semula jadi, Takaful Ikhlas perlu memiliki modal insan yang mampu memberi fokus kepada pelanggan dan memastikan kakitangan kami sentiasa fokus kepada perkhidmatan pelanggan. Kita menggunakan nilai Islam iaitu menjadikan kerja sebagai satu amanah dan takaful sebagai dakwah.

Dengan meletakkan semua dalam nilai kerja, Takaful Ikhlas mempunyai kakitangan yang bukan sahaja komited pada pekerjaannya tetapi ikhlas melaksanakan tugas mereka.

Dalam perniagaan, semua orang ada strategi masing-masing cuma kita mengutamakan pembaikan berterusan. Pembaikan berterusan ini tidak akan berlaku tanpa melatih kakitangan berbuat demikian.

Di Takaful Ikhlas, kita memastikan semua kakitangan mematuhi piawaian pemprosesan yang berpandukan kepada ISO.


Jadi apakah ISO yang diperoleh pada sepanjang tujuh tahun ini?

Takaful Ikhlas mendapat pengiktirafan bagi proses tuntutan kumpulan (am dan keluarga) ISO 9001:2008 (Sistem Pengurusan).

Syarikat ini menjadi syarikat pertama di kalangan industri institusi kewangan yang memperoleh MS 1900:2005.

Prosesnya berpandukan perundangan Syariah dan prinsipal melalui isu-isu Syariah yang kritikal. Jadi, pemantauan terhadap pemprosesan amat penting kepada syarikat.

Kita mengambil 30 peratus kakitangan dari syarikat lain dan 70 peratus lagi adalah kakitangan baru.

Walaupun begitu, kita sentiasa pastikan mereka mematuhi standard prosedur bekerja yang ditetapkan. Semua pengurusan tertinggi pula diwajibkan memahami metodologi pengurusan projek.


Bagaimana Datuk melihat persaingan sengit dalam industri takaful?

Persaingan baik di dalam perniagaan kerana ia mendorong kita untuk menjadi lebih inovatif, cekap dan pantas.


Mungkinkah Takaful Ikhlas akan bergabung atau mengambil alih syarikat lain?

Takaful Ikhlas kini mempunyai modal sebanyak RM197 juta. Sudah tentunya kita akan menjadi syarikat berbilion ringgit menjelang 2014. Peraturan permodalan di Malaysia memerlukan kita meningkatkan modal seiring dengan peningkatan saiz dana. Jadi untuk membolehkan kami menguruskan dana RM1 bilion, Takaful Ikhlas perlu mencari modal RM300 juta atau lebih besar.

Persoalannya mana akan datang modal tambahan ini, satunya adalah melalui rizab modal atau modal baru. Modal baru ini boleh diperoleh melalui penggabungan atau pemegang saham baru, itu kita akan lihat nanti. Tetapi pada dasarnya kalau ada tawaran yang baik daripada mana-mana pihak, kita akan meneliti kriteria sama ada dengan modal tersebut seiring dengan nilai-nilai tambahan.

Kalau sekadar modal sahaja kita tidak berminat tetapi kita akan melihat mana rakan pakatan yang boleh menawarkan nilai tambah. Mungkin pasaran baru, sistem yang lebih canggih atau pengagihan lebih cekap. Kita sering ditanya sama ada Takaful Ikhlas akan meluaskan pasaran di luar negara atau pakatan dengan entiti asing dan kita sering menjawab Takaful Ikhlas terbuka kepada sebarang cadangan dan bersedia untuk menjual (syarikat).

Cuma ingin saya tekankan, kita tidak hanya melihat kepada harga tetapi nilai-nilai lain.


Apakah terdapat sebarang penawaran produk baru tahun ini?

Kami telah mengenal pasti untuk memperkenalkan tiga produk baru iaitu produk penjagaan kesihatan, produk berasas motor dan am. Bagaimanapun, kelulusan Bank Negara diperlukan. Pelancaran produk insurans motor dijangka pada suku ketiga tahun ini.

Seperti pengumuman kerajaan baru-baru ini, insurans dan takaful motor akan dirombak pada pertengahan tahun ini dan Takaful Ikhlas melihat ia sebagai peluang dengan memperkenalkan polisi pelengkap.