Tuesday, September 13, 2011

Hasrat hantar ibu tunai haji termakbul

Hasrat hantar ibu tunai haji termakbul
3 Sep 2010


PAK SABAH - Niat murni seorang anak menghantar ibunya ke Tanah Suci Makkah termakbul akhirnya walaupun takdir menentukan dia lebih awal pergi menyambut panggilan Ilahi meninggalkan orang yang disayangi itu.

Allahyarham Jamilah Johari, 33, seorang kerani sekolah yang kembali ke rahmatullah pada 12 November 2008 di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu selepas diserang penyakit strok, membeli polisi insurans daripada seorang ejen Takaful Ikhlas yang dikenalinya di Kuantan tiga tahun lalu sebagai persediaan menghadapi sebarang musibah.

Ibu arwah Jamilah, Hasnah Jusoh, 53, berkata, anak kedua daripada 12 beradik: itu adalah harapan keluarganya kerana dialah yang banyak membantu menyediakan perbelanjaan untuk 10 adiknya.

Menurut Hasnah, pada awalnya dia tidak mengetahui anak perempuannya itu membuat caruman insurans, namun selepas kematian Jamilah yang juga seorang balu itu, dia amat terharu selepas dimaklumkan pihak Takaful Ikhlas bahawa dia akan menerima pampasan insurans yang dicarum arwah anaknya.

“Jamilah seorang anak yang baik, semasa hayatnya arwah banyak membantu kami. Dia sering mengirim wang dan turut membuat simpanan bagi membantu saya dan ayahnya, Johari Abdul Samad, 59, menunaikan haji.

“Bagaimanapun, niat murninya itu akhirnya termakbul juga walaupun dia sudah tiada, sebahagian duit pampasan insurans yang saya terima akan dibuat belanja untuk menunaikan salah satu rukun Islam itu,” katanya selepas menerima cek pampasan Takaful Ikhlas berjumlah RM41,453.57 di pejabat Arifin Agensi Takaful Ikhlas, di sini, semalam.

Hasnah, penama yang tertera di dalam polisi berkenaan menerima cek pampasan daripada Wan Muhammad Wan Yusuf, Pengurus Unit Arifin Agensi bagi pihak syarikat Takaful Ikhlas.

Bapa arwah Jamilah, Johari yang kini bekerja sebagai pemandu teksi untuk menyara keluarganya berkata, dia akan bertolak ke Tanah Suci sebaik sahaja namanya disenaraikan.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment