Wednesday, October 14, 2009

Pelaksanaan Hibah Dalam Konteks Operasi Takaful

Pelaksanaan hibah dalam konteks operasi Takaful
30 Sep 2009

HIBAH secara asasnya bermaksud pemberian, sedekah atau hadiah melibatkan akad yang mengandungi pemberian hak milik oleh pemilik harta kepada seseorang secara suka rela semasa hayatnya atas dasar kasih sayang tanpa mengharapkan balasan ('iwad).

Hibah adalah diharuskan sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat 177 surah al-Baqarah.
Selain itu, terdapat hadis berkaitan urusan hibah ini. Sabda Rasulullah SAW: Berilah hadiah, kamu akan berkasih sayang.
(riwayat al-Bukhari)

Pun begitu, apabila seseorang telah menghibahkan hartanya kepada individu yang lain, dia tidak boleh menarik semula atau membatalkan hibah tersebut kecuali dalam situasi seorang bapa menghibahkan harta kepada anaknya atau datuk kepada cucunya.

Rasulullah SAW bersabda: "Orang yang mengambil balik hibahnya seperti orang yang menjilat kembali muntahnya".
(riwayat Al-Nasa'i)

Sabda Baginda SAW lagi: "Seseorang tidak boleh meminta balik hibahnya melainkan hibah bapa terhadap anaknya".
(riwayat Al-Nasa'i)

Setiap kontrak dalam Islam mempunyai rukun-rukun dan syarat-syarat yang mesti dipatuhi, begitu juga dengan hibah.

Akad hibah tidak akan wujud melainkan setelah rukun-rukun dan syarat-syaratnya dipenuhi.

Rukun-rukun bagi hibah ialah pemberi hibah (al-wahib), penerima hibah (al-mauhub lahu), benda yang dihibahkan (al-mauhub) dan sighah (penawaran dan penerimaan atau ijab dan qabul).

Syarat-syarat sah pemberi ialah pemberi merupakan pemilik yang sah ke atas harta yang ingin dihibahkan, tidak dihalang oleh sesuatu perkara.

Pemberi juga merupakan seorang yang telah baligh dan hibah atau pemberian yang dibuat perlulah dibuat secara suka rela dan tanpa paksaan. Jika pemberi dipaksa untuk menghibah atau menghadiahkan hartanya kepada orang lain, secara automatik hibah tersebut adalah terbatal.

Selain itu, syarat-syarat penerima pula ialah penerima perlu wujud semasa proses hibah atau kontrak dijalankan. Syarat-syarat bagi barang yang ingin dihibahkan ialah ia mesti wujud semasa berlakunya akad hibah, halal, mempunyai nilai dan dimiliki oleh pemberi hibah.

Penerima hibah tidak boleh menghibahkan barang yang menjadi milik orang lain. Contohnya; Ali menghibahkan pen Ahmad kepada Abu. Hibah tersebut adalah tidak sah kerana pen tersebut adalah dimiliki oleh Ahmad dan bukan kepunyaan Ali.

Apabila sesuatu akad hibah memenuhi rukun-rukun dan syarat-syaratnya serta berlaku penyerahan dan pemberian barang itu (al-qabd), maka harta itu menjadi milik si penerima hibah. Jika al-qabd tidak berlaku, maka akad hibah tidak sah dan pemberi hibah berhak menarik balik hibah itu selama mana harta masih berada dalam miliknya.

Hibah diadaptasi sebagai konsep tambahan kepada produk-produk Takaful dan diamalkan oleh kebanyakan pengendali takaful seperti produk Pelan Pendidikan oleh Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.

Pembayar sumbangan

Produk ini hanya ditawarkan kepada ibu bapa yang mempunyai anak di mana ibu atau bapa akan bertindak sebagai pembayar sumbangan (pemberi hibah) dan anaknya merupakan peserta takaful (penerima hibah). Hibah seperti ini diharuskan kerana semua rukun dan syarat dapat dipenuhi.

Selain itu, pengendali Takaful melalui pengurusan Tabung Tabarruk akan menghibahkan sesuatu kepada peserta sebagai ganjaran di atas kejayaan tertentu yang dicapai oleh peserta.

Hibah jenis ini juga jelas dan tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip syarak kerana semua rukun dan syarat dapat dipenuhi.

Berkaitan hibah manfaat Takaful kepada penama yang dinamakan di dalam borang penerima manfaat, para ilmuwan berselisih pendapat berkaitan beberapa isu yang ditimbulkan daripada amalan ini.

Antaranya adalah hibah seharusnya dilakukan semasa hidup, akan tetapi hibah manfaat Takaful akan hanya berkuatkuasa setelah peserta Takaful meninggal dunia.

Status manfaat Takaful juga masih dipertikaikan sama ada ia adalah harta si mati atau tidak. Jika ia adalah harta, adakah ia perlu dibahagi-bahagikan kepada ahli waris mengikut hukum faraid atau hibah yang dibuat itu sudah memadai untuk dilaksanakan.

Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mesyuaratnya yang ke 34 bertarikh 21 April 2003 / 19 Safar 1424, telah membuat keputusan mengenai aplikasi konsep hibah bagi pembahagian manfaat Takaful:
1. Manfaat Takaful boleh dihibahkan kerana ia merupakan hak para peserta. Justeru, para peserta mesti dibenarkan untuk melaksanakan hak-hak mereka berdasarkan pilihan mereka selagi mana ia tidak bertentangan dengan syariah;
2. Status hibah yang digunakan dalam pelan takaful tidak akan berubah menjadi wasiat, kerana jenis hibah yang digunakan ialah hibah bersyarat di mana hibah yang dibuat ialah tawaran kepada penerima untuk tempoh masa yang tertentu.
Dalam konteks Takaful, manfaat Takaful dikaitkan dengan kematian peserta dan tempoh matang sijil. Jika peserta masih hidup semasa tempoh matang sijil, manfaat Takaful akan dimiliki oleh peserta. Akan tetapi, jika peserta meninggal dunia sebelum tempoh matang, maka hibah akan berkuatkuasa;
3. Peserta mempunyai hak membatalkan hibah yang dibuat sebelum tempoh matang sijil, kerana hibah bersyarat hanya sempurna selepas berlakunya penyerahan (qabdh);
4. Peserta mempunyai hak membatalkan hibah yang dibuat kepada seseorang individu dan menyerahkan barang yang ingin dihibahkan itu kepada orang lain atau membatalkan penyertaan dalam Takaful, jika penerimanya mati sebelum tempoh matang; dan
5. Borang penamaan Takaful perlu diselaras dan dinyatakan dengan jelas status penama sama ada sebagai benefisiari atau pemegang amanah (wasi). Sebarang masalah berkaitan pembahagian manfaat Takaful mestilah dirujuk kepada kontrak yang telah dimeterai.

Bagi produk-produk Takaful Keluarga yang ditawarkan oleh Takaful Ikhlas, pihak syarikat menyediakan borang cadangan hibah untuk peserta sekiranya mereka bercadang menghibahkan manfaat Takafulnya setelah berlaku kematian peserta.

Namun begitu, nama yang dicadang perlulah terdiri sama ada ibu bapa, pasangan yang sah, anak dan adik-beradik.

Walaupun hibah secara asasnya boleh diberi kepada sesiapa sahaja, namun, bagi menjaga dan memelihara kebajikan waris terdekat, pihak syarikat mengkhususkan kategori individu yang ingin dicadangkan sebagai penerima hibah.

Kesan daripada penggunaan akad hibah ialah harta yang telah dihibah terkeluar daripada harta pusaka dan tidak tertakluk kepada pembahagian harta pusaka atau faraid. Selain itu, harta tersebut tidak boleh dituntut oleh ahli waris yang lain.

Melihat kepada keperluan semasa, seharusnya lebih banyak produk yang berasaskan konsep hibah dihasilkan. Ia bagi menjadikan produk-produk tersebut lebih kompetitif dan mampu menandingi produk-produk yang ditawarkan oleh syarikat insurans konvensional.

Justeru, para pengendali Takaful seharusnya mempergiatkan usaha penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan produk-produk yang bukan hanya kompetitif.

Apa yang paling penting, ia mestilah selaras serta selari dengan prinsip-prinsip yang digariskan oleh syariah.


Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

Produk Takaful Tepati Kehendak Syariah

Produk Takaful tepati kehendak syariah
23 Sep 2009


Alhamdulillah umat Islam telah selesai menunaikan ibadat puasa sebulan di bulan Ramadan dan baru sahaja selesai menyambut Aidilfitri. Suasana raya masih lagi dirasai malah majlis rumah terbuka masih banyak diadakan.

Mudah-mudahan ibadat puasa itu dapat melahirkan insan-insan yang bertakwa kepada Allah SWT.

Walaupun Islam tidak melarang kita gembira meraikan hari raya namun biarlah ia dalam batasan yang dibenarkan oleh Allah.

Sikap berhati-hati perlu sentiasa diberikan keutamaan terutamanya apabila musim perayaan besar seperti ini tragedi kemalangan dan kecelakaan menjadi suatu yang amat mengerikan.

Jalan raya seolah-olah menjadi satu medan korban. Sehingga hari ini angka kematian yang terbunuh dalam kecelakaan jalan raya masih menunjukkan angka yang menakutkan.

Di samping itu aspek-aspek kesihatan juga perlu diberi keutamaan. Berlalunya Ramadan bukannya 'lesen' membalas dendam dengan tanpa kawalan menjamu selera tanpa.

Walaupun ghairah dengan sambutan hari raya, berkunjung ke sana dan ke sini tahap kebersihan diri dan persekitaran perlu dipastikan berada pada tahap yang maksimum lebih-lebih lagi ketika wabak selesema babi atau H1N1 masih lagi menular.

Dalam kemeriahan merayakan Aidilfitri janganlah pula lalai tentang hakikat kehidupan seharian yang sentiasa terdedah kepada sebarang bentuk kemungkinan terutamanya yang berbentuk musibah dan malapetaka.

Musibah boleh menimpa kita tanpa mengira darjat, pangkat, umur, bangsa dan warna kulit. Malah yang lebih malang, kaum keluarga kita sendiri seperti anak dan isteri kita akan turut sama menanggung penderitaan.

Oleh kerana itu timbulnya satu keperluan memiliki perlindungan takaful sebagai satu langkah bijak menguruskan kehidupan agar tercapai bahagia di dunia dan di akhirat.

Sistem takaful ialah satu sistem yang berteraskan kepada prinsip-prinsip syariah yang menjamin prinsip 'ketelusan dan keadilan'. Ia bagi memastikan semua pihak yang berurusan tidak merasa tertindas sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Nahl, ayat 90 yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.

Prinsip utama dalam takaful adalah semua pihak yang menyertai kontrak ini dapat merasa manfaat dan tidak terasa sebarang keraguan atau rasa tertipu, seperti membayar sesuatu dengan harga yang mahal tetapi tidak mendapat barang yang dikehendaki, atau pun barang itu hanya dijanjikan jika berlaku sesuatu musibah ke atas diri atau hartanya.

Sehubungan itu, kontrak takaful adalah berasaskan kepada tabarru' (derma) dan taawun (tolong menolong), di mana semua peserta yang memilih atau menyertai pelan takaful bersetuju untuk saling tolong menolong, jamin menjamin antara mereka ketika ditimpa musibah atau kemalangan.

Maksudnya, semua peserta menyumbang dengan ikhlas untuk saling membantu antara mereka jika ditimpa musibah. Dengan konsep tabarru' dan taawun ini, maka akan terhapuslah sikap keakuan, iaitu saya beli polisi ini untuk diri saya dan bukan untuk orang lain.

Kedua-dua konsep ini menyemarakkan rasa kasih sayang sesama saudara ketika mereka mengalami kesusahan atau penderitaan.

Industri takaful juga boleh dikira telah lengkap dari sudut rantaian produknya. Ia merangkumi produk berkaitan pendidikan, perubatan, kesihatan, simpanan, berkaitan pelaburan, perlindungan kredit, perlindungan harta benda dan sebagainya.

Bermula dengan penawaran produk asas yang terhad kini industri takaful sudah boleh berbangga bahawa rantaian produk yang sudah mampu memenuhi keperluan ummah. Kiranya tiada lagi alasan untuk tidak menjadikan produk-produk takaful sebagai pilihan.

Di antara produk yang mendapat sambutan hangat masyarakat kini adalah perlindungan berkaitan kesihatan.

Hari ini umat Islam masih dalam mood raya. Hidangan makanan bermacam jenis dan rupa disajikan, kadang-kadang kerana terlalu gembira telah mengabaikan aspek-aspek kesihatan. Sepatutnya selepas Ramadan fizikal makin sihat tetapi berlaku sebaliknya.

Ramai yang menabung untuk simpanan hari tua, untuk pendidikan masa depan anak-anak. Namun, tidak ramai yang betul-betul membuat persiapan dan persediaan menabung untuk kesihatan.

Malah yang lebih malangnya memandang remeh terhadap aspek tersebut. Alasannya, di negara kita ini pihak kerajaan telah menyediakan perkhidmatan kesihatan kenapa perlu bersusah payah lagi untuk menyediakan dana untuk tujuan tersebut.

Dewasa ini kita sering dikejutkan dengan pelbagai penyakit kritikal yang memerlukan dana yang besar untuk kos rawatannya. Penyakit darah tinggi dan kencing manis antara yang boleh memberi kesan sampingan yang kronik termasuklah serangan sakit jantung. Penyakit jantung adalah pembunuh terbesar di Malaysia.

Di samping itu, penyakit-penyakit seperti kanser, penyakit buah pinggang, strok dan sebagainya, juga antara penyakit yang dikenal pasti menjadi pembunuh rakyat Malaysia masa kini.

Penyakit-penyakit ini memerlukan kos rawatan yang tinggi. Tanpa tabungan yang cukup bagaimana boleh menampung kos perubatan yang begitu tinggi.

Kos perkhidmatan perubatan juga turut meningkat dari masa ke semasa sehingga menjadi suatu beban yang akhirnya terpaksa 'merempat' menagih simpati bantuan orang ramai.
Dalam keadaan begini sudah pasti akan menambahkan lagi bebanan menanggung penyakit yang dihidapi dan juga menanggung beban kewangan.

Dalam konteks ini, Islam sebagai agama yang lengkap dan syumul amat mementingkan penjagaan kesihatan fizikal sebagaimana ia mementingkan penjagaan kesihatan jiwa dan akal.
Malah kaedah penjagaan kesihatan dalam Islam lebih syumul bilamana Islam menetapkan bahawa kesihatan itu bukan hanya kesihatan fizikal semata-mata malah ia mencakupi kesihatan jiwa dan akal.


Anugerah

Kesihatan adalah anugerah yang sangat bernilai dan perlu dihargai. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Orang mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah
(riwayat muslim)

Islam mendidik kita menjaga kesihatan dengan cara mengambil langkah-langkah pencegahan sebelum ditimpa sebarang penyakit. Mencegah itu lebih baik daripada berubat.

Apabila sudah ditimpa penyakit maka Islam mengajar kita agar tidak berputus asa dan hendaklah berusaha mencari penawar. Ini sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: Allah tidak menurunkan suatu penyakit itu kecuali diturunkan bersamanya ubat.
(riwayat Bukhari).

Dan sebaik-baik penawar ialah al-Quran sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Dan kami turunkan al-Quran sebagai penyembuh dan rahmat kepada orang-orang yang beriman.
(al-Isra': 82)

Di antara kaedah lain yang ditekankan oleh Islam dalam penjagaan kesihatan ialah menitikberatkan kebersihan.

Dari aspek perubatan, kebersihan memainkan peranan yang cukup penting dalam mengelakkan seseorang ditimpa penyakit yang meliputi kebersihan diri dan kawasan persekitaran.

Makanan seimbang adalah antara kaedah yang juga diberi penekanan oleh Islam dalam penjagaan kesihatan. Setiap hari kita menikmati pelbagai juadah untuk keperluan jasmani kita dan membekalkan tenaga yang secukupnya dalam melakukan aktiviti seharian.

Pendek kata Islam amat prihatin dalam soal penjagaan kesihatan malah memerintahkan penganutnya sentiasa mengambil berat terhadap penjagaan kesihatan. Ini kerana seperti yang disebut dalam pepatah arab, "akal yang sihat pada tubuh badan yang sihat".

Justeru, menjadi satu tuntutan memastikan segala langkah diambil demi menjaga kesihatan termasuklah menyediakan dana atau sumber kewangan yang cukup.

Tidak dinafikan pencegahan adalah cara terbaik untuk menjaga kesihatan. Namun persiapan menyediakan bekalan kewangan yang mencukupi untuk tabungan kesihatan adalah suatu perkara yang sangat perlu.

Apabila mempunyai kewangan yang mencukupi maka semua perkara akan menjadi mudah dan barangkali tidak banyak kesulitan yang akan dihadapi walaupun sedang ditimpa penyakit.

Pepatah melayu menyebut 'sediakan payung sebelum hujan amat' tepat untuk direnungi dan sangat relevan dengan persiapan mewujudkan tabungan untuk kesihatan.

Persoalannya, adakah melalui kaedah tabungan biasa seperti yang disediakan oleh institusi kewangan mampu memenuhi keperluan tabungan kesihatan.

Alhamdulillah dengan kemunculan takaful seolah-olah memberi nafas baru yang dapat memberikan peluang untuk mendapatkan perlindungan yang lebih komprehensif, adil dan telus.

Hasrat mendapatkan perlindungan kesihatan dapat diperolehi menerusi pelbagai produk yang ditawarkan oleh pengendali takaful di negara kita.

Pelbagai produk yang inovatif telah ditawarkan oleh para pengendali ini bagi memenuhi keperluan perlindungan kesihatan oleh masyarakat.

Perlindungan menerusi produk-produk takaful adalah lebih unik kerana ia dirangka berdasarkan kepada tatacara dan modus operandi produk takaful yang mengambil kira kepentingan dan keperluan semua pihak yang terlibat.

Di antara elemen yang ada pada satu-satu produk takaful ialah aspek memberikan bantuan perlindungan (protection) jika ditakdirkan seseorang peserta ditimpa sesuatu musibah.

Takaful Ikhlas sebagai sebuah pengendali takaful yang berlandaskan prinsip-prinsip syariah telah mengambil langkah yang proaktif dengan menawarkan produk-produk berkaitan perlindungan kesihatan yang inovatif dan dapat memenuhi keperluan semua lapisan masysrakat.

Produk untuk kategori kesihatan ini ditawarkan bukan sahaja kepada individu malah turut ditawarkan kepada badan-badan korporat.

Takaful Ikhlas sangat komited dalam menyediakan perkhidmatan ini selaras dengan iltizamnya untuk memastikan semua urusan perniagaannya berasaskan kepada kesaksamaan dan keadilan.

Utusan Malaysia- bicara muamalat

Ustaz Wan Jemizan

Tanggungjawab Terhadap Muamalat Islam

Tanggungjawab terhadap muamalat Islam
16 Sep 2009



ISLAM adalah satu cara hidup yang syumul, merangkumi semua aspek kehidupan manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud: Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab al-Quran ini.
(al-Anaam: 38)

Ia adalah sempurna, lengkap dan menepati fitrah manusia tanpa mengira pangkat atau darjat. Islam mengatur kehidupan manusia bagi menikmati hasanah di dunia dan juga hasanah di akhirat. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka.
(al-Baqarah: 201)

Bayangkan, dalam satu hari, Islam mengatur hidup manusia dengan pelbagai aktiviti yang mengambil kira fitrah kejadian manusia.

Misalnya hari baru dimulai dengan solat Subuh di waktu pagi yang sangat menyegarkan, setelah penat bekerja, berhenti rehat untuk solat zuhur, kemudian meneruskan lagi aktiviti, berhenti rehat sekejap untuk solat asar, kemudian sebelum melangkah masuk ke tabir malam, bersolat Maghrib pula dan sebelum melelapkan mata disudahi pula dengan solat Isyak.

Sebagai satu analogi, perjalanan menaiki kereta melalui Lebuh Raya Utara-Selatan dari Kuala Lumpur ke Bukit Kayu Hitam, ada di sepanjang lebuh raya tersebut tempat-tempat rehat yang disediakan untuk membolehkan pemandu berhenti rehat dan seterusnya dapat meneruskan perjalanan dengan selesa dan selamat.

Cuba bayangkan jika tiada tempat rehat, menaiki kereta tanpa henti terus ke Bukit Kayu Hitam, sungguh memenatkan serta cukup membosankan. Justeru, tiada yang lebih indah daripada keindahan cara hidup Islam, penuh dengan warna warni, ceria dan sungguh mendamaikan.

Begitu juga dalam setahun ada bulan Ramadan sebagai satu perhentian untuk merehatkan badan di samping sebagai satu medan tarbiyah rohani.

Bulan Ramadan boleh dianggap sebagai satu bengkel menyelenggara fizikal dan rohani untuk membaikpulih apa-apa kerosakan agar dapat berjalan dengan lebih sempurna 11 bulan selepas itu.

Sebab itulah Allah meletakkan matlamat yang cukup tinggi daripada pelaksanaan ibadat puasa ini, iaitu supaya beroleh takwa sebagaimana firman-Nya dalam ayat 183 surah al-Baqarah.

Bayangkan jika menggunakan kenderaan tanpa diselenggara sudah pasti kenderaan itu akan rosak ataupun tidak boleh berfungsi dengan maksimum. Indah sungguh cara hidup Islam!

Salah satu aspek yang dipentingkan dalam ajaran Islam adalah aspek muamalat yang mengatur manusia untuk berinteraksi dengan cara yang terbaik di antara sesama mereka.

Islam menggariskan peraturan dan sistem yang sangat tepat dengan fitrah manusia bagaimana mereka patut bermuamalat sesama mereka sama ada menerusi platform ekonomi, politik mahupun sosial.

Sistem muamalah Islam adalah berlandaskan wahyu yang sememangnya syumul, adil sempurna dan lengkap. Oleh itu, sistem muamalah Islam ini bukan lagi sebagai alternatif tetapi suatu tuntutan khususnya kepada orang Islam untuk memajukannya.

Sistem yang berteraskan wahyu ini sudah pasti membawa misi yang cukup besar. Selain membebaskan ummah daripada cengkaman unsur-unsur haram seperti riba, judi, penindasan, eksploitasi dan sebagainya.

Ia juga adalah satu wadah untuk melakukan jihad, dakwah dan amar makruf nahi munkar sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
(ali-‘Imran: 104)

Situasi masyarakat dunia kini yang sangat mengagungkan sistem ciptaan manusia sebagai asas muamalat mereka khususnya dalam aspek berkaitan dengan ekonomi terbukti telah menjadi satu polemik percaturan masyarakat dunia. Melahirkan makin ramai manusia yang tamak dan pentingkan diri sendiri.

Pelbagai teori dan hipotesis telah dikemukakan untuk menyelesaikan krisis ekonomi yang telah dan sedang melanda. Namun ternyata hampir keseluruhan percubaan menemui kegagalan dan amat sedikit yang membuahkan hasil.

Inilah padahnya apabila mengenepikan sistem yang datang daripada Pencipta manusia itu sendiri.

Penyelesaian-penyelesaian yang telah dikemukakan kebanyakannya tersasar jauh dari landasan keadilan menyeluruh yang sebenarnya.

Di suatu pihak, terdapat percubaan yang menyarankan ke arah yang ekstrem mementingkan hak individu dan mengenepikan kepentingan masyarakat umum serta tidak kurang juga ada percubaan menolak keistimewaan hak yang ada pada individu.

Maka, dalam hal ini, apakah sistem yang benar-benar mampu menyelesaikan masalah ekonomi ini? Di manakah sistem yang mampu menyuburkan benih keadilan untuk dituai hasilnya oleh masyarakat keseluruhannya?

Ternyata, sistem yang mampu menjadi penyelesai kepada kemelut ini adalah sistem Islam. Namun, masih ada yang berfikiran sempit menganggap Islam itu terhad kepada amalan-amalan ibadat seperti di masjid dan tiada kena-mengena dengan aktiviti di luar masjid.

Pemikiran kolot seperti inilah menjadikan kehidupan masyarakat Islam mundur. Risalah Nabi SAW bukan hanya berkisar tentang urusan-urusan di dalam masjid malah ia bersifat komprehensif iaitu mengatur kehidupan dunia sehingga menjangkau dimensi akhirat.

Memang ternyata kini, selepas pelbagai usaha dilakukan tetap menemui kegagalan. Alhamdulillah cahaya Allah tetap tidak akan terpadam.

Masih ada pihak yang konsisten dengan Islam telah berusaha tanpa mengenal penat lelah menghidupkan semula sistem muamalah Islam yang menjadi asas kepada islah atau reformasi kepada kemelut ekonomi tersebut.

Memang tidak syak lagi sistem tersebut ternyata memberikan keuntungan yang luar biasa kepada segenap lapisan masyarakat. Barangkali masih ramai yang tidak lupa bagaimana teguhnya sistem kewangan Islam menghadapi krisis ekonomi akhir 90-an dahulu.

Krisis tersebut membuka mata masyarakat bahawa sistem kewangan Islam ternyata ‘kebal’ dan mampu menjadi galang ganti kepada sistem kewangan konvensional.

Hasilnya, sistem muamalah Islam telah tumbuh bak cendawan selepas hujan. Sistem perbankan Islam dan sistem takaful yang suatu ketika bagaikan ‘melukut di tepi gantang’ kini semakin menarik minat ramai sebagai pilihan utama kepada mereka.

Kenapa? Jawapannya, ternyata ajaran Islam yang suatu ketika dahulu keindahannya hanya banyak dibicarakan didalam kitab-kitab ‘kuning’, tetapi kini diaplikasikan dalam kehidupan kita.
Inilah khazanah Islam yang sangat berharga yang dibongkar oleh ulama dan cendekiawan Islam masa kini yang mahu melihat sistem Islam berdiri teguh di persada sistem kewangan perdana.
Persoalannya, apakah usaha dan sumbangan kita dalam memartabatkan sistem muamalah Islam ini? Adakah hanya melihat sahaja tanpa terdetik untuk menjayakan aspirasi ini bersama-sama?

Memartabatkan sistem muamalah Islam adalah satu jihad yang menuntut bukan sedikit pengorbanan semua pihak. Ia juga adalah satu dakwah yang menjadi penyambung kepada mata rantai dakwah Rasulullah SAW.