Wednesday, September 16, 2009

Model Takaful IKHLAS


Model Takaful IKHLAS membolehkan sebahagian besar daripada akaun peserta untuk digunakan bagi tujuan pelaburan di mana ia dapat memberi pulangan yang optima. Ia juga memberikan lebihan dan hasil pulangan yang lebih kerap kepada akaun pelaburan peserta. Pelaburan semula pendapatan pelaburan dan lebihan ini sesegera mungkin menjadikan jumlah perolehan pulangan keseluruhan adalah lebih baik.




Tuesday, September 15, 2009

Jadikan Takaful Pilihan Utama Anda




Bicara Muamalat - Jadikan takaful pilihan utama
9 Sep 2009

Hari ini kita semua khususnya umat Islam sedang berada di dalam bulan Ramadan, iaitu bulan yang difardukan ke atas mereka berpuasa sebagaimana dinyatakan oleh Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana puasa itu diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.
(al-Baqarah: 184)

Pada bulan ini juga telah disediakan pelbagai kelebihan oleh Allah seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: "Telah datang kepada kamu bulan Ramadan bulan yang diberkati, Allah mewajibkan ke atas kamu berpuasa, padanya dibuka pintu syurga, ditutup pintu neraka dan dibelenggu segala syaitan, padanya ada satu malam yang lebih baik dari 1,000 bulan, barang siapa yang tidak mendapat sebarang kebaikan maka tiada tidak mendapat apa-apa".
(riwayat Ahmad dan Al Nasai)

Bulan Ramadan juga meriah dengan pelbagai aktiviti kerohanian seperti berpuasa, zakat fitrah, tadarus al-Quran, solat tarawih, lailatul qadar, sedekah, memberi makan orang berpuasa dan sebagainya.

Pendek kata, bulan ini manusia semuanya sedar akan tanggungjawabnya, semua kembali kepada fitrah asalnya. Oleh itu layak untuknya menyambut hari kemenangan kembali kepada fitrah (Idul Fitri).

bulan jihad

Sejarah telah membuktikan bahawa bulan Ramadan adalah bulan jihad yang telah menyaksikan banyak peristiwa jihad berlaku pada bulan ini. Sekali gus membuktikan bahawa umat Islam adalah ummah yang dinamik dan progresif.

Di antaranya, Peperangan Badar yang terjadi pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah. Perang Badar dianggap sebagai perang terbesar dan kemenangan terbesar yang diraih umat Islam di awal pertumbuhannya di Madinah.

Fathu Mekah yang terjadi pada tahun ke lapan hijrah. Jihad ini merupakan kemenangan untuk menghancurkan tuhan-tuhan berhala dan menegakkan panji kebenaran, peperangan Qadisiyyah di mana orang-orang Majusi di Persia ditumbangkan dan sebagainya.

Oleh yang demikian, tarbiah Ramadan ini bukan perkara main-main. Hasil yang ingin diperoleh daripada tarbiah madrasah Ramadan ini ialah melahirkan insan-insan yang bertakwa kepada Allah SWT yang akan berjihad melaksanakan amar makruf dan nahi munkar.

Sepanjang bulan ini, pelbagai latihan disediakan untuk kita melaksanakan untuk menyuburkan semangat jihad seperti yang diperintahkan Allah SWT: Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah...
(Ali-Imran: 110)

Selaku orang-orang yang memperjuangkan muamalat Islam, kita harus mempersiapkan diri berdepan dengan medan sebenar di mana tugas menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah tanggungjawab kita semua.

Allah telah menjanjikan rahmat dan ganjaran yang berlipat kali ganda bagi hamba-Nya yang melaksanakan ibadah atau perkara kebaikan di bulan ini.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya 10 kali ganda serupa dengannya hingga 700 kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata: Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku."
(riwayat Bukhari dan Muslim)

Walaupun umat Islam sedang melaksanakan rukun Islam yang ketiga berdepan dengan lapar, dahaga, letih dan sebagainya, namun, jihad ekonomi yang telah dimulakan sebelum ini tidak perlu dihentikan begitu sahaja dan perlu diteruskan.

Ini kerana, ekonomi adalah salah satu cabang daripada ajaran Islam itu sendiri dan tidak boleh dikesampingkan. Malah, penekanan terhadapnya haruslah seiring dengan aspek politik, sosial dan sebagainya. Semua ini menjadikan Islam itu sebagai agama yang syumul (sempurna) dan merangkumi seluruh kehidupan manusia.

Mengajak manusia melaksanakan ekonomi Islam dan beramal dengannya merupakan suatu ibadah yang pasti mendapat ganjaran baiknya di sisi Allah.

Persoalannya, adakah kita benar-benar ingin melaksanakannya atau mengharap orang lain melunaskan 'tugasan' tersebut bagi pihak kita.

Dewasa ini sistem kewangan Islam semakin berkembang dan kehadirannya semakin dirasai. Jika sebelum ini masyarakat terdedah dan 'terdidik' dengan sistem konvensional, namun, hari ini kita boleh berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh industri kewangan Islam.

Statistik sehingga 31 Disember 2008 menunjukkan industri takaful mewakili sejumlah 7.2 peratus daripada pasaran insurans secara keseluruhannya. Namun inisiatif-inisiatif yang ditunjukkan oleh syarikat-syarikat takaful dan retakaful sedia ada memperlihatkan perkembangan positif industri ini untuk masa-masa akan datang.

Di antara inisiatif syarikat-syarikat ini yang membuktikan industri takaful bukan sekadar alternatif kepada insurans konvensional adalah mereka menawarkan produk-produk yang mempunyai kelebihan yang tersendiri dan kompetitif. Ia mampu menyaingi produk-produk yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat insurans konvensional.

Penilaian yang menyeluruh mestilah menjadi kayu ukur dalam menentukan sesuatu keputusan yang dibuat adalah merupakan keputusan yang terbaik. Justeru, dalam membandingkan produk-produk yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat takaful dan insurans konvensional, penilaian bukan sekadar merangkumi aspek harga dan manfaat yang ditawarkan.

nilai murni

Malah ia perlu juga dinilai dalam bentuk yang lain seperti aspek spiritual dan nilai murni yang ingin diterapkan. Apabila kita menilai aspek tertentu sahaja, sudah pasti kelebihan dan 'kecantikan' sistem tersebut tidak dapat diserlahkan dan keadilan tidak dapat dizahirkan.
Biarpun telah wujud sistem kewangan yang berasaskan prinsip Islam, namun, masih ada di kalangan umat Islam hari ini yang masih terlibat dengan perbankan dan insurans konvensional. Mereka mencipta 1,001 alasan untuk mengelak daripada terlibat dengan sistem kewangan Islam seperti produk-produk yang ditawarkan oleh perbankan Islam dan takaful mahal harganya berbanding produk-produk syarikat konvensional.

Itulah sikap manusia, bila tiada sesuatu perkara, mereka sibuk menggesa agar diwujudkan dan apabila telah diwujudkan, mereka juga 'sibuk'. Sibuk mencipta 1,001 macam alasan untuk mengelakkan diri daripada terlibat atau melaksanakan perkara tersebut.

Sebagai seorang Muslim yang beriman, sudah pasti kita ingin memastikan apa yang dilakukan seharian selari dengan kehendak dan prinsip-prinsip Islam.

Namun, adakah kita sedar, dengan melibatkan diri dengan perbankan dan insurans konvensional, kita mendedahkan diri kita dengan dosa riba. Allah dan Rasul-Nya telah mengisytiharkan perang ke atas orang-orang yang terlibat dengan riba tidak kiralah sama ada pemberi, penerima, penulis perjanjian berkaitan riba dan sebagainya.

Adakah kita masih ingin melibatkan diri dengan dosa besar tersebut sedangkan sudah ada alternatif kepada kedua-duanya iaitu industri perbankan Islam dan takaful?

Maksud firman Allah SWT: Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki Riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya.
(al-Baqarah: 278)

Kita biasa mendengar mengenai jihad ekonomi yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam. Namun, apabila peluang diberi untuk melaksanakan agenda tersebut, kita seringkali mengelak.
Masyarakat seharusnya turut serta melibatkan diri dalam sistem takaful bagi menjayakan sistem ekonomi Islam yang memberikan keadilan dan keuntungan bukan sekadar duniawi, lebih-lebih lagi ukhrawi.

Sistem kewangan Islam, sama ada yang berkaitan dengan takaful atau perbankan hakikatnya adalah satu sistem mematuhi syariah dan tiada unsur-unsur haram seperti riba, gharar (shubhat) dan maisir (judi).

Justeru ia merupakan satu platform melakukan ibadah kepada Allah. Menerusi sistem takaful seseorang itu berpeluang melakukan derma/infaq/sedekah 'kelas pertama' yang mana amalan ini sangat digalakkan di bulan Ramadan al Mubarak ini.

Menerusi sistem takaful ini seseorang itu juga boleh menjadikannya sebagai satu platform melakukan dakwah dan jihad mengajak ummah meninggalkan sistem riba kepada satu sistem yang diredai oleh Allah.

Risalah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW tidak terhenti dengan kewafatan baginda. Setiap individu Muslim wajib meneruskan usaha mengembangkan ajaran Islam di muka bumi ini. Sebagaimana dijelaskan di dalam surah Fussilat ayat 33.

Bersempena dengan Ramadan yang mulia ini, marilah kita thabatkan dalam hati bahawa kita bukan sekadar ingin membuat perubahan dalam diri kita, daripada yang lebih baik kepada yang terbaik dari sudut ibadah dan akhlak.

Malah, kepada keseluruhan sistem kehidupan kita yang bersangkut paut dengan ekonomi, sosial, politik dan lain-lain lagi. Mudah-mudahan umat yang lahir hasil madrasah Ramadan kali ini merupakan umat yang akan memperjuangkan pelaksanaan Islam dalam seluruh sistem kehidupan termasuklah dalam sistem kewangan.

Friday, August 28, 2009

Konsep tabarru" dalam Takaful

26 Aug 2009


Sesungguhnya Islam adalah agama yang sangat sempurna. Segala sistem dan peraturannya adalah untuk kebaikan dan kemaslahatan hidup manusia. Peraturan-peraturan Islam selari dengan fitrah kejadian manusia.

Secara fitrahnya manusia sangat sukakan harta, maka Islam telah meletakkan panduan yang jelas kepada manusia dalam hal-hal berkaitan harta agar harta tersebut memberikan kebaikan kepadanya.

Dalam Islam, manusia tidak memiliki harta tersebut secara mutlak, bahkan harta tersebut adalah sebagai amanah Allah untuk diatur dan disalurkan dengan cara yang diredai-Nya.

Islam menyediakan kaedah penyelesaian yang bukan sahaja praktikal malah dapat memberikan kebaikan di dunia dan di akhirat. Sebagai agama yang praktikal, Islam menyediakan solusi kepada pelaksanaan sistem insurans yang selari dengan prinsip syariah Islam.

Kontrak tabarru' (bersedekah) telah diperkenalkan sebagai asas kepada sistem takaful di mana kontrak berkenaan adalah lebih praktikal dan selamat dalam mengatur-urus sistem insurans yang pada tujuan asalnya adalah dianggap baik.

Perbahasan kali ini adalah berkaitan konsep tabarru' dan mengapa ia dipilih sebagai kontrak yang selamat pada pandangan Islam dalam menjalankan aktiviti dan transaksi insurans.


Berkasih sayang

Tabarru' bermaksud suatu bentuk derma ikhlas yang diberi oleh satu pihak dengan tidak meminta pertukaran atau balasan daripada pihak yang lain.

Ia dikategorikan sebagai kontrak satu pihak (unilateral) di mana cukup dengan hanya satu pihak sahaja yang melafazkan sesuatu pemberian tanpa ada sebarang pertukaran.

Tabarru' adalah antara amalan soleh yang sangat digalakkan oleh Islam. Islam menggalakkan semangat tolong-menolong dan berkasih sayang antara satu sama lain. Justeru amalan bersedekah ini sangat tinggi nilainya di sisi Islam.

Ini kerana ia adalah asas kepada wujudnya masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Oleh kerana itulah banyak dalil yang menyokong perkara ini.
Antaranya maksud firman Allah SWT yang maksud-Nya: Wahai orang-orang yang beriman! Nafkahkanlah (dermakanlah) sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual beli padanya dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim.
(al-Baqarah: 254)

Rasulullah SAW juga menegaskan dalam banyak sabda Baginda akan galakan dan keperluan melakukan sedekah.
Antaranya daripada Rasulullah SAW dengan sabdanya: Firman Allah: Belanjakanlah (hartamu) wahai anak Adam, nescaya kamu akan diinfaqkan (oleh Allah SWT) (Muttafaq 'alaih)

Daripada Rasulullah SAW dengan sabdanya: Apabila matinya anak Adam, maka terputuslah amalannya melainkan dengan tiga perkara: Sedekah yang berterusan, ataupun ilmu yang memberikan manfaat, ataupun anak yang soleh yang berdoa kepadanya.
(riwayat Muslim)

Dalam takaful, setiap peserta yang menyertai mana-mana produknya akan memperuntukkan sebahagian atau keseluruhan daripada sumbangannya (premium) ke dalam satu tabung. Tabung tersebut dinamakan Tabung Risiko. Ia menempatkan derma terkumpul para peserta. Fungsi dana ini adalah sebagai bantuan kepada peserta yang ditimpa musibah.

Sebagai contoh, dalam Model Takaful Ikhlas, setiap peserta berjanji melakukan derma secara bulanan (al Iltizam bi al Tabarru') ke dalam Tabung Risiko.

Di bawah model ini, sumbangan peserta akan ditempatkan ke dalam satu akaun, sebagai contoh Akaun Pelaburan Risiko Peribadi (PRIA) yang berupa milik peserta.

Pihak peserta yang telah berjanji melakukan derma tadi, membenarkan Takaful Ikhlas mengambil sejumlah tertentu daripada PRIA iaitu jumlah yang diperlukan untuk membantu peserta-peserta yang ditimpa musibah pada bulan berkenaan untuk didermakan (drip) setiap bulan ke dalam Tabung Risiko.

Setiap peserta akan saling membantu di antara mereka apabila ada di kalangan mereka yang ditimpa musibah. Aplikasi tabarru' di dalam takaful telah menghapuskan unsur-unsur gharar (syubhat), riba dan maisir (judi) yang kerananya telah menyebabkan insurans konvensional difatwakan haram.

Ini kerana tabarru' dikategori sebagai kontrak satu pihak yang tidak memerlukan sebarang pertukaran atau timbal balas sebagaimana kontrak pertukaran seperti kontrak jual beli yang menentukan adanya pertukaran di antara dua pihak yang berkontrak.

Seseorang yang menderma cukup dengan menyerahkan barangan yang didermakan kepada pihak-pihak yang berkenaan, maka kontraknya telah dikira selesai. Tetapi bagi kontrak pertukaran seperti jual beli, kontraknya dikira selesai apabila pembeli menyerahkan wang (harga barang) dan penjual menyerahkan barang yang dijual tersebut, jika tidak kontrak berkenaan dikira tidak sah.

Inilah yang berlaku di dalam transaksi insurans konvensional di mana walaupun pelanggan telah membayar premium (harga) pihak penanggung insurans tidak berupaya menyerahkan barang yang berupa perlindungan, pada kebiasaannya dalam bentuk wang.
Ini kerana perlindungan (wang) tersebut hanya boleh diserahkan jika pelanggan berkenaan mengalami jenis risiko yang dilindungi seperti sakit jantung, mati, kemalangan dan sebagainya.


Wang hangus
Semasa membeli insurans, pelanggan berkenaan belum lagi menghidap musibah-musibah berkenaan. Maka sudah pasti pelanggan berkenaan tidak akan mendapat barang yang dibelinya itu yang sepatutnya diserahkan kepadanya pada masa tersebut.
Lagipun, musibah seperti sakit jantung, mati , kemalangan dan sebagainya itu sifatnya tidak diketahui akan berlaku atau pun tidak. Maka pelanggan berkenaan tidak pasti sama ada akan dapat atau tidak.

Dalam konteks kontrak jual beli, tidak berupaya menyerahkan barang yang dijual semasa akad dimeterai ia dikira sebagai transaksi yang mengandungi elemen gharar yang ditegah oleh Rasulullah SAW. Inilah yang berlaku dalam transaksi insurans konvensional.

Menerusi pelaksanaan tabarru' ini yang diikat dengan prinsip Takaful (saling membantu) mewujudkan suasana saling tolong-menolong di antara satu sama lain.

Sebagai analogi mudah, peserta A menderma untuk membantu peserta B, manakala peserta B menderma untuk membantu peserta A, suasana bantu membantu inilah yang dikatakan sebagai Takaful di mana peserta saling membantu sesama mereka.

Bukannya di antara peserta dengan pihak syarikat sebagaimana yang berlaku di dalam sistem insurans konvensional.

Berdasarkan prinsip-prinsip tabarru' sumbangan derma itu tidak boleh ditarik balik oleh peserta. Jika peserta membatalkan penyertaan di dalam Takaful, bahagian yang telah dimasukkan ke dalam Tabung Risiko tidak akan dipulangkan. Bagaimanapun peserta berhak mendapat baki yang ada di dalam PRIA dalam konteks Takaful Ikhlas.

Justeru, tiada istilah 'wang hangus' dalam keadaan ini sebagaimana yang cuba disalah tafsirkan kerana ia wang derma yang bakal diganjari pahala yang lumayan oleh Allah.

Demikian kerana dalam aplikasi takaful, jika sekiranya tidak berlaku tuntutan ke atas perkara yang dilindungi, sumbangan tabarru' tersebut berperanan sebagai sumbangan amal jariah yang sangat-sangat istimewa dalam Islam.

Inilah di antara kelebihan dan keindahan sistem takaful yang tidak ada dalam sistem insurans konvensional. Menikmati habuan ukhrawi di samping habuan duniawi sekali gus.

Allah menjanjikan ganjaran yang lumayan bagi mereka yang bersedekah.
Ia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.
(al-Baqarah: 261). Selain itu boleh juga merujuk ke ayat 274 surah al-Baqarah.

Bukan sahaja peserta yang dapat menikmati manfaat rabbani ini malah mereka yang bekerja di syarikat-syarikat takaful termasuklah para wakil atau ejen Takaful yang terus menerus mempromosikan konsep tabarru' ini, juga bakal mendapat ganjaran ilahi.

Menerusi amalan tabarru' ini kita boleh menikmati ganjaran yang istimewa daripada Allah. Amalan ini boleh dikerjakan dengan lebih sempurna, sistematik dan profesional menerusi sistem takaful.

Malah amalan menerusi sistem Takaful ini adalah tabarru' kelas pertama di mana ia dilakukan dengan ikhlas, sehinggakan tangan kanan yang memberi, tangan kiri tidak mengetahuinya.


Utusan Malaysia



Surat Kebenaran Kemasukan Ke Hospital Panel Oleh Syarikat Pengurusan Untuk Pelan IMAT iaitu ASIA ASSISTANCE. Dengan adanya surat ini peserta di benarkan masuk dan menerima rawatan.


Friday, August 21, 2009

Dengan adanya pelan IMAT, peserta pelan IMAT hanya perlu membayar RM 222.10. Pelan IMAT tidak mengenakan tiada (Co-Payment takaful).


Huraian Terperinci Jumlah Bayaran Yang Dikenakan Keatas Peserta Pelan IMAT


Peserta di wadkan di hospital panel akibat disyaki jangkitan kuman dalam paru-paru.
Jumlah Bil yang sepatutnya di bayar = RM 3,387.45

Kelebihan perlindungan Takaful

19 Aug 2009

Kelahiran banyak penyedia Sistem Kewangan Islam sejak kebelakangan ini memberi nafas baru kepada masyarakat Malaysia terutamanya kepada umat Islam untuk menikmati sistem yang berteraskan wahyu yang telah lama diidamkan.

Inisiatif pihak Bank Negara Malaysia (BNM) memberikan lesen-lesen penubuhan Perbankan Islam dan Takaful kepada beberapa institusi kewangan yang layak seharusnya dipuji dan dihargai kerana ia telah memudahkan masyarakat membuat pilihan untuk mendapatkan perkhidmatan kewangan yang adil, telus dan efisien.

Benarlah sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abi 'Amru Jarir bin Abdullah r.a. yang memuji tindakan sedemikian rupa di mana mafhumnya berbunyi: Barang siapa yang menunjukkan (mempermudahkan sesuatu urusan) perkara kebaikan, maka baginya pahala dan pahala sesiapa yang beramal dengannya selepas itu tanpa dikurangkan sedikitpun daripadanya. (riwayat Muslim)

Jika sebelum ini, umat Islam tidak mempunyai pilihan malah terpaksa menerima sistem yang bercampur-baur dengan sistem yang tidak senada dengan Islam.

Keadaan ini mewujudkan kegelisahan dan rasa tidak selesa di kalangan umat Islam. Namun kini, alhamdulillah, kemunculan Sistem Kewangan Islam dengan pelbagai inovasi seolah-olah menjadi 'penyelamat' kepada umat manusia daripada terus-menerus dibelenggu oleh sistem yang hanya meletakkan keuntungan duniawi semata-mata.

Malangnya, ada juga sesetengah pihak yang masih berat hati untuk turut serta menyokong dan melibatkan diri dalam memajukan sistem Islam ini dengan mencipta seribu satu alasan.

Malah, ada juga suatu golongan yang cuba untuk memburukkan imej Sistem Kewangan Islam ini dengan cubaan-cubaan halus bagi melumpuhkan usaha murni ini.

Kepada golongan tersebut, diperingatkan satu firman Allah yang bermaksud: Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat dan menghalangi manusia dari jalan agama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya. (Ibrahim: 3)

Sebagaimana yang dimaklumi, institusi Takaful sebagai contohnya, adalah merupakan Institusi Perlindungan (Insurans) yang berteraskan prinsip Islam.

Institusi ini selayaknya disokong dengan bersungguh-sungguh kerana ia merupakan suatu sistem yang menjamin keadilan dan kesejahteraan kepada ummah.

Perlindungan menerusi sistem takaful mempunyai kelebihan yang tidak boleh disangkal lagi berbanding dengan sistem perlindungan konvensional. Di bawah sistem perlindungan takaful para peserta yang menyertai mana-mana-mana pelan perlindungan diprogramkan untuk sama-sama mempraktikkan konsep tolong-menolong yang diredai Allah untuk sama-sama meringankan beban rakan-rakan mereka yang berada di dalam kesusahan.

Semangat ini akan melahirkan masyarakat yang tidak mementingkan diri sendiri, tidak sombong malah mereka akan sentiasa prihatin kepada persekitaran mereka.

Islam sangat menggalakkan umatnya agar tolong menolong dalam perkara kebaikan seperti yang dijelaskan oleh Allah s.w.t. di dalam ayat 2 surah al-Maidah, maksudnya: … hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan…

Sistem takaful juga bebas dari unsur-unsur gharar (syubhat), riba dan juga maisir (judi). Tiadanya unsur gharar secara mudahnya memberi maksud bahawa sistem takaful adalah satu sistem yang telus , tidak menyembunyikan fakta dan tidak mengamalkan seperti pepatah Melayu "ada udang di sebalik batu".

Di antara nilai negatif di sebalik unsur riba adalah mengambil kesempatan, menindas golongan yang dalam kesusahan dan mengeksploitasi untuk kepentingan sendiri. Oleh itu, tidak hairan apabila kita melihat pengamal sistem yang berteraskan riba ini mereka hanya mementingkan diri mereka sendiri, sanggup menindas orang lain , sentiasa mencari jalan untuk mengumpulkan kekayaan sendiri dan lebih dahsyat lagi tiada perasaan belas kasihan dalam diri mereka.

Hal ini sebaliknya berlaku, dalam sistem Takaful yang tidak mengamalkan riba, nilai-nilai tanggungjawab bersama, tolong menolong dan menjaga kemaslahatan umum menjadi keutamaan.

Begitu juga dengan unsur maisir. Unsur ini menjadikan pengamalnya tamak dan rakus tanpa memikirkan hak dan kepentingan orang lain. Sistem Takaful yang tiada unsur ini sebaliknya mementingkan semangat persaudaraan dan kepentingan bersama sebagai satu teras yang menunjangi aktivitinya.

Menerusi sistem Takaful seseorang peserta itu juga dapat melakukan amalan yang sangat terpuji dalam Islam iaitu dapat menunaikan tanggungjawab sosialnya menerusi amalan tabarru' (derma).

Dalam sistem takaful setiap peserta akan memperuntukkan sebahagian atau semua daripada sumbangannya untuk didermakan bagi membantu mana-mana peserta yang ditimpa musibah.

Derma dalam sistem takaful ini adalah derma kelas pertama. Ini kerana menerusi sistem ini seseorang peserta dapat melakukan derma dengan ikhlas sebagaimana derma yang dituntut oleh Islam.

Ia seperti yang digambarkan dalam sabda baginda daripada Abi Hurairah r.a daripada Nabi s.a.w baginda bersabda, Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tiada sebarang naungan melainkan naungan Allah, pemimpin yang adil, pemuda yang hidup dalam ibadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang lelaki yang berkasih sayang kerana Allah bertemu dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang digoda oleh wanita yang berkedudukan dan cantik lalu dia berkata sesungguhnya aku takut kepada Allaah dan seorang lelaki yang melakukan sedekah secara tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diberikan oleh tangan kanannya dan seorang lelaki yang mengingati Allah secara bersendirian lalu bergelinangan air matanya. (Muttafaqun 'alaih)

Namun perlu ditegaskan keistimewaan konsep ini adalah ia tidak hanya bermanfaat kepada orang Islam semata-mata. Sebaliknya, ia turut memberi kebaikan kepada semua peserta tanpa mengira pegangan agama.

Sistem takaful juga menyediakan peluang kepada masyarakat untuk memainkan peranan sebagai pendakwah yang berusaha mengembangkan produk muamalat Islam dengan menyertai dan menyokong sistem ini.

Ini kerana takaful adalah alternatif kepada sistem insurans konvensional sebagaimana yang disimpulkan oleh Badan Petugas Penubuhan Syarikat Insurans Islam Di Malaysia 1983.

Malah masyarakat juga berpeluang melakukan jihad menentang sistem jahiliah (sistem perlindungan konvensional) yang telah difatwakan haram menurut Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1972.

Pada masa yang sama apabila menyertai sistem yang berteraskan sistem Islam ini sebenarnya ia memberi peluang untuk beribadat yang merupakan satu menifestasi pengabdian, kepatuhan dan ketundukan kepada perintah Allah yang memerintahkannya supaya melakukan makruf dan meninggalkan mungkar sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 25.

Kesimpulannya, sudah tiba masanya untuk kita melibatkan diri dan bekerjasama untuk memartabatkan sistem takaful ini.

Sokongan padu diperlukan dari semua pihak agar hasrat murni untuk memerdekakan umat manusia daripada terus berada di bawah cengkaman sistem yang bersifat duniawi semata-mata kepada sistem yang boleh membawa kesejahteraan duniawi dan ukhrawi.

Kini dengan adanya kemudahan kewangan Islam seperti perbankan dan takaful di pasaran yang ternyata lebih baik dan lebih menjamin kemaslahatan, maka ianya bukan lagi menjadi pilihan yang lebih baik malah, ia telah menjadi satu tuntutan atau kewajipan untuk memilih kemudahan kewangan Islam ini.

Sunday, August 16, 2009

'Discharge summary' yang menunjukkan tarikh kemasukan peserta diwadkan dan tarikh peserta keluar wad. Ini menunjukan jumlah hari peserta di wadkan berjumlah 4 hari.





Kad Bantuan Kemasukan Hospital





KELEBIHAN IMAT




1. Pembaharuan pelan yang di sepenuhnya.
2. Tiada fasal penyakit khusus di bawah pelan ini.
3. Pelan yang menawarkan sumbangan yang rendah di dalam industri insurans / takaful.
4. Perlindungan 24 jam meliputi seluruh dunia, 7 hari seminggu.
5.Pampasan perlindungan yang tiada had hilang upaya.
6.Menyediakan rawatan perbelanjaan tradisional.
7.Menyediakan perbelanjaan tempat tinggal bagi waris pesakit.
8.Peserta tidak dibebankan dengan (co-payment takaful)*.
* Tertakluk kepada syarat-syarat yang terdapat didalam pelan




FAKTA RINGKAS TENTANG KOS RAWATAN KESIHATAN DI MALAYSIA

  1. Kenaikan kos rawatan hospital sentiasa meningkat, dianggarkan 13% setahun.

  2. Kos pembedahan yang ringkas juga boleh menjangkau lebih daripada RM 1000 !


Pelan IMAT yang memenangi Produk Takaful Paling Inovatif (KLIFF 2008)












Wednesday, August 12, 2009

Tinggalkan Yang Haram

Firman ALLAH SWT


" Hai sekalian manusia, makanlah barang yang HALAL lagi baik dari apa yang ada di bumi "
Surah Al-Baqarah ayat 168

Ulasan Ayat :

1. Ayat diatas ini menjelaskan bahawa perintah ALLAH kepada seluruh manusia untuk memakan barangan halal yang baik kerana ALLAH SWT itu baik, tidak menerima melainkan yang baik.

2. Setiap manusia dikehendaki mencari dan mendapatkan rezeki yang HALAL iaitu (suci dan bersih dari segala keburukkan, kekotoran, pada amal dan harta benda).

3. Setiap orang yang beriman dikehendaki agar segala amalannya bersih, jiwa dan hati yang bersih, hasil daripada menggunakan rezeki yang halal membawa kepada keberkatan terhadap seluruh kehidupannya tidak halal (haram) atau syubhah (tidak tahu samada halal atau haram) masuk kedalam tubuh, boleh menyebabkan seseorang itu terhijab daripada mendapat doa yang diterima, melemahkan iman, malas melaksanakan ibadah dan ketaatan, lebih terdorong kepada perkara maksiat serta hilang keberkatan hidup.

4. Rezeki yang tidak halal (HARAM) atau syubhah (tidak tahu samada halal atau haram) masuk ke dalam tubuh, boleh menyebabkan seseorng itu terhijab daripada mendapat doa yang diterima, melemahkan iman, malas melaksankan ibadah dan ketaatan, lebih terdorong kepada perkara maksiat serta hilang keberkatan hidup.

5. Pekerjaan yang baik, menghasilkan rezeki yang baik, termasuk keadaan ketika bekerja (tidak mencuri tulang dan masa), kerana hasilnya adalah termasuk HARAM, walaupun sedikit, berhati-hatilah daripada terjebak ke dalam perkara yang HARAM.


WALLAHU'ALAM