Friday, January 22, 2010

Pelaburan: Proses Membina Harta

Pelaburan: Proses membina harta

23 Dec 2009


HARTA adalah amanah Allah yang dipinjamkan kepada manusia sebagai wasilah untuk mencapai kehidupan yang diberkati.

Islam mengajar manusia mempunyai pandangan yang betul terhadap harta agar menerusi harta, manusia dapat menikmati bahagia dan bukannya bencana.

Islam memperakui keperluan manusia kepada harta dan kerana itulah harta dipandang mulia di sisi Islam. Malah, Islam menggalakkan umatnya memiliki, menghasil dan menggunakan harta dengan baik dan bijaksana.

Dalam Islam, harta merupakan wasilah untuk manusia menikmati keselesaan hidup, untuk mencapai takwa. Di sebalik itu, Allah juga menganugerahkan harta kepada manusia untuk menguji manusia itu sama ada bersyukur atau sebaliknya.

Ini sebagaimana yang ditegaskan Allah yang bermaksud: Dan ketahuilah bahawa hartamu dan anak-anakmu hanya sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang besar. (al-Munafiqun: 9)

Di samping itu, dengan memiliki harta semata-mata tanpa diurus dan dibangunkan untuk kesejahteraan manusia sejagat adalah bertentangan dengan yang dituntut oleh Islam.

Ini kerana dari satu sudut yang lain, Islam menggariskan agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh untuk membangun dan membina kehidupan yang bahagia dan harmoni. Ia sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Dia yang menghidupkan kamu di muka bumi ini dan memerintahkan supaya kamu membangun dan membina kehidupan yang harmoni di atasnya. (Hud: 61)


Manfaat

Malah Islam menyeru agar menjadikan kehidupan ini dapat memberi manfaat kepada orang lain sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sebaik-baik kamu adalah yang paling banyak memberi manfaat”.

Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap dan sempurna memerintahkan agar harta dan diuruskan dengan baik dan bijaksana kerana jika sebaliknya harta boleh menyebabkan kemusnahan manusia dan kemurkaan Allah.

Firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya bagi penduduk Saba' di negeri mereka ada suatu tanda kekuasaan Allah iaitu dua bidang kebun, di sebelah kanan dan di sebelah kiri (dikatakan kepada mereka): Makanlah rezeki Tuhanmu dan bersyukurlah kepada-Nya. (Inilah) negeri yang baik dan Tuhan yang pengampun. Kemudian mereka menderhaka kepada Allah, lalu kami kirimkan kepada mereka banjir dan kami tukarkan kedua-dua kebun mereka dengan buah-buahan yang pahit dan pohon-pohon yang tidak berbuah. (Saba’: 15-16)

Demikian juga beberapa firman-Nya yang lain seperti dalam surah al Nisaa’ ayat 10 dan surah an-Nisaa’ ayat 161.

Pelaburan adalah salah satu kaedah menghasil dan mengembangkan harta. Dalam ilmu pengurusan harta secara Islam menggariskan, Penghasilan Harta (Wealth Creation) sebagai satu asas permulaan seseorang dalam interaksinya dengan harta.

Tidak dinafikan, harta perlu dicari dan tidak hanya pasrah pada qada dan qadar seperti di dalam firman Allah yang bermaksud: Maka apabila telah ditunaikan sembahyang, bertebaranlah kamu dimuka bumi dan carilah kurnia (rezeki) Allah dan ingatlah akan Allah sebanyak-banyaknya, mudah-mudahan kamu menang. (al-Jumuah: 10)

Malah dari sudut yang lain setelah dicari, harta itu perlu pula dikembangkan. Adalah tidak wajar jika harta yang kita ada disimpan begitu saja tanpa mengembangkannya.

Nabi Muhammad SAW dan khulafah Al Rashidin telah melakukan pelaburan dengan mengembangkan harta-harta zakat seperti unta, lembu dan kambing.

Ini memandangkan binatang-binatang tersebut mempunyai potensi yang baik di dalam pembiakan dan perkembangan.

Islam melarang membekukan harta tanpa dimanfaatkannya. Ia hendaklah dikembangkan agar manfaatnya dapat dirasai oleh ramai orang sebagaimana firman Allah dalam surah al-Hasyr ayat 7.

Pengembangan harta boleh dilakukan menerusi pelbagai cara, antaranya menerusi pelaburan di institusi kewangan.

Sebagaimana sunnah yang ditunjukkan oleh nabi Yusuf a.s menerusi firman Allah yang bermaksud: Berkata Yusuf: Kamu bercucuk tanam tujuh tahun, sebagaimana biasa. Seberapa yang telah kamu potong hendaklah kamu simpan bersama tangkainya, kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian datang sesudah itu tujuh tahun kemarau (kelapan), sehingga menelan apa yang telah kamu simpan itu, kecuali sedikit yang kamu simpan (untuk menjadi benih). (Yusuf: 47-48)

Memang Islam menyuruh agar harta dikembang atau dilaburkan, namun bagi mendapatkan keredaan Allah SWT aktiviti pelaburan itu mestilah menepati hukum syarak yang berasaskan kepada al-Quran, al-Sunnah, ijmak, qias dan ijtihad.

Justeru, pelaburan yang diterima dan sah di sisi Islam adalah pelaburan yang menepati prinsip pelaburan daripada perspektif Islam. Di dalam Islam, dua kontrak syariah yang popular berkaitan dengan pelaburan ialah musyarakah dan mudharabah.

Dalam muamalat Islam rukun sesuatu kontrak memainkan peranan yang penting dan ia tidak boleh diabaikan. Jika sesuatu transaksi yang mengaplikasikan kontrak Syariah tidak cukup rukun-rukunnya, maka transaksi itu tidak sah.

Sebagai panduan, di bawah konsep mudharabah dan musyarakah rukun-rukunnya yang wajib ada dan dipenuhi adalah, wang (modal) pelaburan dalam jumlah tepat dan diketahui, pelabur, pengusaha, bisnes yang halal dan kontrak (ijab dan qabul).

Di samping memenuhi dan cukup rukunnya, ia juga perlu memenuhi syarat-syarat seperti nisbah pembahagian keuntungan yang dipersetujui bersama, tiada jaminan modal selamat dan tiada jaminan untung tertentu.

Memang tidak dinafikan, setiap pelabur yang membuat pelaburan mengharapkan keuntungan. Banyak pihak yang terkeliru dalam hal ini khususnya yang berkaitan dengan jaminan keuntungan yang bakal diperolehi oleh pelabur.


Mengelirukan

Lebih mengelirukan apabila pihak yang menawarkan peluang pelaburan tersebut menggunakan nama-nama, istilah atau perkataan Arab yang menampakkan seolah-olah ia adalah pelaburan secara Islam.

Namun apabila diselidiki hanya nama nampak macam pelaburan secara Islam tetapi dari segi mekanisme dan operasinya jauh terpesong daripada kaedah pelaburan secara islam.

Jaminan mendapat keuntungan adalah bercanggah dengan prinsip pelaburan dalam Islam. Ulama Islam sepakat bahawa memberi jaminan untuk mendapat keuntungan daripada pelaburan hukumnya adalah haram kerana ia adalah riba dan bukannya pelaburan.

Islam tidak membenarkan memberi jaminan bahawa pelabur mesti mendapat keuntungan daripada pelaburannya kerana ia bercanggah dengan tabii pelaburan itu sendiri yang tertakluk kepada untung dan rugi.

Ia sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW yang bermaksud: “(Bagi mendapatkan) Keuntungan (hasil pelaburan) mestilah dengan menghadapi risiko (bermakna tiada untung tetap dijanjikan dan pelabur mesti menjamin keelokkan barangan yang dijual jika melibatkan jual beli)”. (riwayat As-Syafie, Ahmad, Ibn Hibban, Abu Daud)

Apa yang dibolehkan dan sebagaimana yang diamalkan oleh industri kewangan Islam adalah sebarang keuntungan, hanya anggaran dan andaian sahaja tanpa membuat sebarang janji bahawa pelabur pasti akan mendapat keuntungan.

Hal ini selari dengan keputusan Majlis Penasihat Syariah AAOIFI yang telah memutuskan bahawa apabila mana-mana pihak menetapkan baginya satu jumlah untung yang tetap dan pasti, maka rosaklah akad pelaburan mudharabah itu.

Di Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti (SC) adalah antara badan yang bertanggungjawab dalam mengawal selia hal ehwal pelaburan.

SC dengan dibantu oleh Majlis Pengawasan Syariahnya telah berjaya menyenaraikan sekuriti yang tersenarai di Bursa Malaysia yang mematuhi Syariah.

Berdasarkan Majlis Pengawasan Syariah SC, sesebuah syarikat diklasifikasikan sebagai sekuriti yang tidak patuh syariah sekiranya syarikat menjalankan aktiviti teras yang tidak selaras dengan syariah seperti yang berikut:

(a) Perkhidmatan kewangan yang berteraskan riba (faedah); (b) Perjudian dan pertaruhan; (c) Pengeluaran atau penjualan barangan yang tidak halal atau barangan yang berkaitan; (d) Insurans konvensional; (e) Aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan syariah; (f) Pengeluaran atau penjualan barangan yang berasaskan tembakau atau barangan yang berkaitan; (g) Pembrokeran atau jual beli sekuriti tidak patuh syariah; dan (h) Aktiviti lain yang didapati tidak selaras dengan Syariah.

Bagi syarikat yang menjalankan aktiviti bercampur di antara aktiviti yang selaras dan tidak selaras dengan syariah, MPS mempertimbangkan dua kriteria tambahan iaitu: pandangan masyarakat umum tentang imej syarikat berkenaan mestilah baik dan aktiviti teras syarikat mempunyai kepentingan dan maslahah (kebaikan secara umum) kepada umat Islam dan negara manakala unsur yang tidak selaras dengan syariah adalah amat kecil dan melibatkan perkara ‘umum balwa (perkara terlarang yang sukar dielakkan), uruf (amalan kebiasaan) dan hak-hak masyarakat bukan Islam yang diperakui oleh Islam.

Inisiatif SC itu merupakan satu inovasi yang berimpak maksimum kepada umat Islam di Malaysia dimana mereka tidak lagi ragu-ragu dan teragak-agak untuk membuat pelaburan.
Justeru, sebelum melabur kita perlu membuat pertimbangan yang wajar dengan memastikan agar pelaburan yang hendak dibuat tidak melibatkan pelaburan dalam aktiviti perniagaan yang diharamkan oleh syarak.

Tiada jaminan terhadap keuntungan yang tetap, tidak ada unsur gharar (ketidakpastian) atau elemen perjudian, tiada unsur paksaan dalam keputusan membuat pelaburan dan tidak terlibat dalam riba.

Jangan mudah terpedaya dengan janji-janji manis yang menawarkan keuntungan berlipat ganda menerusi pelbagai kaedah kreatif yang menggunakan nama-nama seolah-oleh ia satu pelaburan secara Islam.


Utusan Malaysia






Monday, January 18, 2010

Perbankan Islam Dan Prestasinya Kini

Nov 2009

PERBANKAN Islam ialah perbankan yang berlandaskan undang-undang Islam (syariah), iaitu fiqh muamalat (peraturan Islam dalam transaksi). Kesemua peraturan dan amalan di dalam fiqh muamalat berasal dari al-Quran dan al-Sunnah dan sumber undang-undang Islam sekunder yang lain.

Antaranya seperti kesepakatan pendapat oleh ulama mujtahid tentang sesuatu hukum syariah (ijmak), menyamakan perkara baru yang tiada nas secara analogi (qias) dan hasil usaha daripada para mujtahid dalam merumuskan sesuatu hukum dan nilai melalui kaedah istinbat (ijtihad). (http://www.bankinginfo.com.my)

Usaha awal penubuhan perbankan Islam di Malaysia bermula seawal penubuhan Tabung Haji pada November 1962 yang telah memulakan operasinya pada 30 September 1963. Kejayaan Tabung Haji mendorong pelbagai pihak untuk mengemukakan cadangan kepada kerajaan agar menubuhkan sebuah bank Islam sepenuhnya.

Gerakan ini adalah hasil pelbagai perbincangan dan kajian demi kajian yang akhirnya menghasilkan rumusan bahawa wujudnya keperluan menubuhkan sistem perbankan yang berteraskan syariah.Gelombang ini turut dicetuskan di peringkat antarabangsa di mana usul untuk menubuhkan bank Islam di negara-negara Islam telah dibincang dalam Mesyuarat Kedua Menteri-Menteri Luar Negara Islam dalam tahun 1971. (www.bankislam.com.my)

Hasilnya, Kabinet meluluskan penubuhan bank Islam yang pertama pada tahun 1983 yang dikenali sebagai Bank Islam Malaysia Berhad yang dikawalselia di bawah Akta Perbankan Islam 1983.

Setelah lebih kurang 10 tahun bank Islam pertama beroperasi, industri perbankan Islam melakar satu lagi sejarah di mana pada tahun 1993 diwujudkan Skim Perbankan Tanpa Faedah (SPTF). Melalui skim ini, institusi perbankan konvensional dibenar menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan Islam menggunakan prasarana yang sedia ada termasuk kakitangan dan cawangan. (Bank Negara Malaysia (BNM) dan Sistem Kewangan di Malaysia Perubahan Sedekad 1989-1999).

Walau bagaimanapun, berkuatkuasa 1 Disember 1998, SPTF ditukar kepada Skim Perbankan Islam (SPI) kerana penggunaan istilah SPTF tidak mencerminkan penampilan sebenar operasi perbankan Islam yang dilaksanakan oleh institusi perbankan.

Sistem kewangan dan perbankan Islam di Malaysia telah menunjukkan perkembangan dan peningkatan yang memberangsangkan. Sebelum 1993, Malaysia hanya mempunyai sebuah bank Islam dengan 36 cawangan yang terhad. Namun selepas kerajaan memperkenalkan SPTF pada 1993, perbankan Islam boleh diperoleh dihampir 2,500 cawangan bank Islam, bank perdagangan, bank saudagar dan syarikat kewangan. Alhamdulillah, industri perbankan Islam kini diperkukuhkan lagi apabila institusi perbankan konvensional yang menawarkan SPI diberi pilihan untuk mengubah operasi SPI mereka kepada sebuah bank Islam sepenuhnya.

Bagi menyemarakkan lagi perkembangan industri perbankan Islam ini pihak kerajaan juga menawarkan lesen perbankan Islam kepada bank-bank asing.Pada tahun 2008, pendapatan yang dijana oleh industri perbankan Islam mencatatkan pencapaian yang sangat memberangsangkan. Ia memperoleh pendapatan kasar melebihi RM9 bilion dan kini aset perbankan Islam telah menghampiri RM300 bilion.Bagi menjamin pematuhan syariah, semua bank Islam perlu menubuhkan Jawatankuasa Syariah bagi membimbing mengenai hal-hal Syariah dan memastikan bahawa fungsi bank tersebut adalah mematuhi kehendak syariah.

Selain itu, Majlis Penasihat Syariah iaitu badan syariah tertinggi yang ditubuhkan di BNM diwujudkan bagi memastikan keseragaman dalam pendapat dan amalan.prinsip syariah Perbankan Islam adalah perbankan yang menawarkan produk-produk kewangan yang berteraskan prinsip-prinsip syariah. Konsep dan mekanisme operasi telah berubah daripada konsep pinjam meminjam yang menjadi teras sistem perbankan konvensional kepada konsep jual beli, perkongsian, kerjasama dan sebagainya.

Di antara konsep-konsep syariah dalam perbankan Islam yang diaplikasi dalam pelbagai produk perbankan Islam ialah Wadiah (Simpanan) yang digunakan dalam produk-produk berasaskan deposit, Mudarabah (Perkongsian keuntungan) yang digunakan dalam produk-produk berasaskan pelaburan, Bai' Bithaman Ajil - BBA (Penjualan dengan harga tertangguh) yang diaplikasikan dalam pelbagai produk pembiayaan. Murabahah seperti mana BBA, Musyarakah (Usaha sama) yang diaplikasikan dalam produk pembiayaan usaha sama, Ijarah Thumma Bai' (Sewa Beli) yang lazimnya digunakan dalam membiayai barangan pengguna terutama- nya pembiayaan kenderaan dan sebagainya.

Bermula dengan satu bank dengan produk yang terhad dan ringkas, kini Perbankan Islam telah mampu memenuhi keperluan semasa umat. Ia kini bukan lagi satu alternatif tetapi satu kewajipan terutamanya ke atas umat Islam untuk menyokong produk-produk perbankan Islam.

Ini kerana perbankan Islam dari sudut produk telah berupaya menawarkan lebih 40 jenis produk yang berdaya saing dan kreatif yang merangkumi produk-produk berkaitan deposit seperti akaun simpanan, akaun semasa, akaun pelaburan dan sebagainya, pembiayaan perumahan, pembiayaan kenderaan, pembiayaan peribadi, sewaan dan sebagainya mahupun pelaburan seperti Deposit Murabahah Berstruktur.

Sistem Perbankan secara Islam berbeza dengan Sistem Perbankan Konvensional dan ia boleh dilihat kepada konsep dan operasinya. Perbezaan utama di antara perbankan Islam dan perbankan konvensional ialah perbankan Islam mesti berlandaskan syariah. Perbankan Islam juga mesti mengelakkan aktivitinya daripada unsur-unsur yang diharamkan seperti riba, gharar (ketidakpastian yang berlebihan), perjudian dan penipuan. Manakala sistem konvensional muamalatnya dijalankan secara riba dan tidak mengambil kira unsur-unsur keadilan dalam transaksinya.

Mengumpul keuntungan

Dari sudut objektif, perbankan konvensional menerusi pelbagai aktivitinya adalah mengumpul keuntungan peribadi ataupun kumpulan tertentu seperti pihak pemegang saham. Usaha digembleng hanya bertujuan untuk memaksimumkan keuntungan tanpa mengambil kira kesan dan akibat kepada umat.

Hal ini berbeza dengan sistem Perbankan Islam di mana dari sudut teorinya adalah untuk menjamin kemaslahatan dan kesejahteraan umat khususnya dalam perkara yang berkaitan sosioekonomi umat Islam.

Ini dapat dilihat apabila perbankan Islam tidak mengamalkan riba yang memang jelas menindas dan menzalimi terutamanya golongan yang lemah.

Dosa riba ini telah disepakati oleh seluruh ulama akan pengharamannya dan ia termasuk dalam kategori dosa besar. Malah riba diharamkan oleh semua agama. Allah melaknat mereka yang melibatkan diri dengan riba.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Rasulullah SAW. melaknat pemakan riba, pemberinya, dua orang saksinya dan juru tulisnya." (riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, An Nasa'i dan Ibn Majah)

Riba adalah salah satu dosa besar. Ia berdasarkan hadis nabi SAW maksudnya: "Jauhilah tujuh dosa besar, syirik, sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan yang suci dengan zina (tanpa saksi adil)." (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Terlibat dengan riba menjadi sebab mendapat kemurkaan Allah SWT. Pemakan dan pemberi riba sebenarnya mereka memerangi Allah SWT dan Rasul-Nya sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya. (al-Baqarah: 278).

Begitu juga jika dilihat dari sudut hubungan di antara pelanggan dengan pihak bank. Bank konvensional hanya terhad kepada hubungan antara pemiutang dan peminjam sahaja. Tetapi di dalam perbankan Islam, hubungan lebih kepada kebersamaan di mana sebagai contoh di bawah konsep Musyarakah, pihak bank dan pelanggan adalah rakan kongsi untuk melaksanakan satu-satu projek dan sebagainya.

Ini selaras dengan falsafah di sebalik pinjaman dalam Islam iaitu untuk memenuhi keperluan seseorang yang dalam kesusahan, memupuk semangat tolong menolong dan untuk menyuburkan kasih sayang di antara satu sama lain.

Dengan mengenakan caj tambahan yang kadang-kadang berkali ganda seperti yang dilakukan oleh perbankan konvensional melenyapkan nilai-nilai mulia ini malah dengan amalan riba ini telah menyuburkan sikap mengeksploitasi dan menindas golongan yang sedang dalam kesusahan.

Akhirnya lahirlah manusia yang tamak, mementingkan kepentingan sendiri dan menjadi hamba kepada harta.

Biar pun telah wujud sistem kewangan yang berasaskan prinsip Islam, namun, masih ada di kalangan umat Islam hari ini yang masih terlibat dengan perbankan konvensional. Mereka mencipta 1,001 alasan untuk mengelak terlibat dengan Sistem Kewangan Islam seperti produk-produk yang ditawarkan oleh Perbankan Islam mahal harganya jika dibandingkan dengan produk-produk syarikat konvensional. Sebagai Muslim yang beriman, sudah pasti kita ingin memastikan apa yang dilakukan seharian selari dengan kehendak dan prinsip-prinsip Islam.

Namun, adakah kita sedar, dengan melibatkan diri dengan perbankan konvensional, kita mendedahkan diri kita dengan dosa riba di mana Allah dan Rasul-Nya telah mengisytiharkan perang ke atas orang-orang yang terlibat dengan riba tidak kiralah sama ada pemberi, penerima, penulis perjanjian berkaitan riba dan sebagainya.

Adakah kita masih ingin melibatkan diri dengan dosa besar tersebut sedangkan sudah ada pilihan.

Mengajak manusia melaksanakan ekonomi Islam dan beramal dengannya merupakan suatu ibadah yang pasti mendapat ganjaran baiknya di sisi Allah SWT. Persoalannya, adakah kita benar-benar ingin melaksanakannya atau mengharap orang lain melunaskan 'tugasan' tersebut bagi pihak kita.

Utusan Malaysia

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN